Tuesday, 18 October 2011


MARI BERSENAM

Senaman merupakan satu aktiviti yang mudah dilakukan. Ia perlu dilakukan secara berterusan dan patut menjadi sebahagian amalan harian baik golongan remaja sehingga tua. Walaubagaimanapun sebelum bersenam, anda harus memikirkan
beberapa aspek seperti menjalani pemeriksaan doktor jika anda; 


a) Berumur lebih 35 tahun dan tidak bersenam secara regular sebelum ini.
b) Tidak pasti mengenai status kesihatan atau keadaan anda.
c) Mempunyai sejarah perubatan seperti penyakit jantung, masalah paru-paru dan sebagainya 
d) Obes atau lebih berat badan.
 



ANTARA KEBAIKAN SENAMAN ADALAH:
1) Mengurangkan paras gula dan lemak di dalam badan. 
2) Membaiki pengaliran darah dalam sistem saluran darah tubuh.
3) Mengawal berat badan. 
4) Menguatkan jantung. 
5) Mengurangkan tekanan jiwa. 
6) Membuat anda lebih cergas dan bertenaga. 
7) Membolehkan anda tidur dengan nyenyak. 


Senaman harus dijalankan dengan betul dan regular. Ia juga harus seimbang dengan jumlah makanan yang kita ambil. Senaman hendaklah dijalankan 3 ke 4 kali seminggu selama sekurang-kurangnya 30 minit agar mendapat senaman yang berkesan. Senaman setiap hari juga adalah yang terbaik.


Pilihlah senaman yang sesuai dengan tahap kesihatan anda. Secara amnya terdapat 3 fasa senaman iaitu; 

Fasa Pertama 
Senaman selama 5 - 10 minit untuk memanaskan badan seperti pergerakan bebas dan senaman regangan. Ini bertujuan untuk menyediakan tubuh dengan aktiviti yang lebih tinggi. 

Fasa Kedua 
Ini merupakan senaman yang sepatutnya iaitu selama 20 hingga 30 minit. Contohnya berjoging, berbasikal, bermain badminton, bersenam dan sebagainya. 

Fasa Ketiga 
Ia sama seperti senaman fasa pertama iaitu untuk menyejukkan badan. Ia bertujuan untuk mengelakkan kecederaan otot. Senaman ini juga mengambil masa 5 hingga 10 minit.

PETUA-PETUA UNTUK SENAMAN:
1. Sebelum memulakan aktiviti senaman, dapatkan nasihat doktor.
2. Mulakan senaman yang ringan mengikut kemampuan anda dan tingkatkan dari masa ke semasa. 

3. Pakai pakaian dan kasut sukan yang sesuai. 
4. Jangan duduk terus selepas anda berhenti bersenam. 
5. Kekuatan senaman harus mencapai tahap kadar nadi 120 - 150 kali seminit. 
6. Jangan bersenam jika paras glukosa dalam darah anda tinggi atau kira-kira 2 jam selepas makan. 
7. Jangan bersenam jika anda sakit atau berasa kurang selesa.

No comments:

Post a Comment